Monday, April 4, 2011

Lagi....Sejarah Cameron Highlands versi 'PEJABAT DAERAH DAN TANAH CAMERON HIGHLANDS'

SEJARAH CAMERON HIGHLANDS

Terakhir dikemaskini ( Isnin, 22 Mac 2010 10:30 )
PEJABAT DAERAH DAN TANAH CAMERON HIGHLANDS


Dalam tahun 1885, seorang Jurukur Kerajaan, William Cameron telah menjalankan satu ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa dan telah melaporkan bahawa beliau telah menemui satu daratan tinggi yang bercerun. Gunung-gunung yang melindungi dataran ini kelihatan rendah jika diukur daripada paras ketinggian dataran yang dijangkakan iaitu ketinggian antara 1372.5 meter [4500 kaki] hingga 1403 meter [4600 kaki] dari aras laut. Walaubagaimanapun, beliau tidak mencatatkan di dalam pelan kedudukan sebenar dataran tinggi tersebut tetapi arah laluan ekpedisi beliau menghala ke hulu Sungai Raja yang bersebelahan dengan Negeri Perak. Dalam peta-peta selanjutnya, dataran tinggi ini dicatatkan pada kedudukan yang berlainan. Hakikat ini jelas menunjukkan kerja-kerja dan catatan yang beliau hasilkan hanyalah merupakan satu jangkaan sahaja. Sungguhpun pada ketika itu beliau tidak dapat memastikan kedudukan tanah dataran tinggi yang dimaksudkan itu dengan tepat, tetapi adalah diakui bahawa beliaulah orang yang pertama menyerlahkan kawasan ini dalam sejarah. Selanjutnya beliau telah mengadakan satu ekspedisi penjelajahan di kawasan ini mulai bulan Februari 1885 dan berakhir pada 1 September pada tahun yang sama. Dengan itu, kawasan tanah tinggi ini dinamakan sebagai Tanah Tinggi Cameron atau CAMERON HIGHLANDS bagi mengenang jasa dan kerja-kerja penerokaan oleh William Cameron dan pasukan ekpedisinya. Pada asalnya, Nama "Hill Station" buat pertama kali telah disebut dalam satu minit mesyuarat oleh Residen Negeri Perak pada tahun 1888. Beliau telah memberikan pandangan mungkin sebuah sanatorium boleh didapati di Cameron Highlands di mana tempat-tempat peranginan, rumah-rumah istirehat, taman-taman dan kawasan-kawasan pertanian boleh diusahakan. Dalam tahun 1886 anggaran peruntukan wang sebanyak RM 20,000.00 telah diberikan untuk membaiki dan memanjangkan lagi sebuah lorong sempit menghala ke Cameron Highlands. Seterusnya pada tahun 1902 peruntukan telah diberikan untuk memanjangkan lagi jalan tersebut hingga panjang keseluruhan lorong tersebut mencecah 34 batu. Perbincangan mengenai "Hill Station" ini masih berterusan sebagaimana yang diminitkan oleh Pesuruhjaya Tinggi,seperti berikut



"..... sebelum sebarang tanah diberikan di Highlands, Pengarah Kerja Raya hendaklah memilih tanah rizab Kerajaan, mencukupi untuk kegunaan-kegunaan akan datang ."



Kerja-kerja mengukur telah dijalankan pada tahun 1904 dan hasilnya ialah satu kesimpulan dibuat mengatakan Lubuk Tamang, sekarang adalah tasik sebagai kawasan tanah dataran yang dimaksudkan. Walaubagaimanapun, ketinggian kawasan ini ialah 3,000 kaki dan jelaslah yang ia bukanlah tanah dataran yang dimaksudkan oleh William Cameron dan tiada tindakan-tindakan selanjutnya terhadap perkara ini. Hanya pada tahun 1920 barulah berlaku perkembangan terbaru apabila Pengarah Muzium Negeri Pahang telah mengetuai satu ekspedisi dan telah membuat laporan mengenai geologi, pertanian dan kesihatan di kawasan ini. Sebuah peta lakar buat kali pertamanya telah dilukis oleh Jurutera Negeri dan berdasarkan kepada pengamatannya, Cameron Highlands asal terletak di kawasan Tanah Rata dan Brinchang yang ada sekarang ini. Seterusnya pada tahun 1925, Sir George Maxwell telah membuat lawatan dan ketetapan untuk membangunkan kawasan ini sebagai sebuah "Hill Station". Sebuah Jawatankuasa Pembangunan telah dibentuk dan telah memulakan persidangannya pada 18 Mei 1926. Jawatankuasa ini berfungsi sehingga bulan November 1931. Dalam tempoh masa ini jalanraya telah dibina dan pembahagian zon telah dibuat di daerah ini sebagai kawasan rizab Jabatan Pertanian, kawasan bandar, tempat kediaman, pusat perkhidmatan, Taman Negara, kawasan pentadbiran dan juga tempat rekreasi. Syarat-syarat pemberian tanah juga telah dibuat dan syarikat-syarikat telah membuat permohonan tanah. Jawatankuasa Pembangunan Cameron Highlands telah menamatkan tugasnya pada akhir tahun 1931 dan bermula dari tarikh tersebut daerah ini telah ditadbirkan sebagaimana yang dilakukan seperti daerah-daerah lain di Negeri Pahang. Malahan, mulai 1 Julai 1931, seorang Penolong Pegawai Daerah Inggeris telah ditempatkan di sini di bawah pengawasan Pegawai Daerah Lipis. Dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa daerah Cameron Highlands telah diwujudkan pada 01 Julai 1931 dengan keluasan 71,218,000 meter persegi bersamaan 71,218 hektar [175,973 ekar].



Pada 14 Ogos 1931, sebuah kawasan di Mukim Tanah Rata telah diisytiharkan sebagai Kawasan Lembaga Kesihatan. Dalam tempoh masa yang sama sebuah kawasan di Ringlet telah turut diisytiharkan tertakluk kepada seksyen-seksyen yang berkaitan dalam Enakmen Lembaga Kesihatan. Lembaga Kesihatan ini terdiri daripada lima orang ahli rasmi dan empat orang ahli tidak rasmi yang dilantik untuk mentadbirkan kawasan-kawasan tersebut yang berkuatkuasa sejak diisytiharkan sebagai Kawasan-Kawasan Lembaga Kesihatan. Kerajaan telah membina jalan-jalan batu sejauh 18.63 batu, 13.79 batu jalan yang tidak berbatu dan 90.13 batu lorong di Cameron Highlands. Satu geran yang dianggarkan berjumlah 5,000 ekar tanah telah diberikan kepada Kompeni Boh di lembah Sungai Boh pada tahun 1929. Stesen-Stesen Percubaan Kerajaan telah dibuka oleh Jabatan Pertanian, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada awal tahun 1926. Sebuah kilang teh yang kecil telah dibina pada tahun 1931. Purata suhu yang direkodkan di Cameron Highlands ialah 70 F dan purata suhu minima ialah 56 F. Purata suhu bulanan di peringkat maksima dan minima hanya berbeza lebih kurang 4 F tetapi suhu maksima yang paling tinggi direkodkan ialah dalam bulan Mei dan suhu minima yang paling rendah ialah dalan bulan Januari dan Februari. Suhu paling rendah yang direkodkan ialah 42 F. Peperangan Dunia Kedua dan disusuli pula dengan penaklukan Jepun serta perisytiharan darurat telah membantutkan proses pembangunan di Cameron Highlands. Namun demikian setelah darurat tamat, "Hill Station" telah membangun semula dan menjadi tempat pelancongan yang kian popular bukan sahaja bagi penduduk-penduduk tempatan bahkan kepada pelancong-pelancong luar negeri.


Sebarang Pertanyaan...hubungi saya di facebookFacebook:http://www.facebook.com/suhaimi.mike

No comments:

Post a Comment

Thank You