Monday, April 4, 2011

PETA & INFO DAERAH CAMERON HIGHLANDS



INFO DAERAH

Cameron Highlands merupakan salah satu tempat yang mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri . Ia sering dikaitkan sebagai tempat peranginan tanah tinggi musim cuti yang begitu terkenal di negara ini, sebagai pusat pengeluaran teh yang terbesar di Malaysia dan masyhur, ladang sayur-sayuran yang sentiasa membekalkan keperluan sayur-sayuran segar dan bermutu tinggi kepada negara. Kedudukannya yang di dataran tinggi menjanjikan persekitaran yang nyaman, jauh dari kesibukan kota dan pencemaran alam. Pada masa kini, masih banyak lagi keistimewaan dan keunikan yang terdapat di Cameron Highlands yang masih tersembunyi di celah-celah bukit-bukau dan kehijauan hutan belantaranya. Daerah Cameron Highlands merupakan daerah terkecil yang terletak di sebelah barat laut negeri Pahang. Keluasannya adalah 71,218 hektar (712.18 km persegi) dan meliputi 2% daripada keluasan negeri tersebut. Peletakannya adalah di Banjaran Titiwangsa yang mana sebahagian besarnya terletak di aras 1,070 meter hingga 1,830 meter dari paras laut. Di sebelah barat sempadan, kontur adalah kurang daripada 1,000m, terutamanya di sepanjang lembah sungai. Ia bersempadan dengan Perak di bahagian barat, Kelantan di bahagian utara dan Daerah Lipis, Pahang di bahagian timur dan selatan. Terdapat 3 rangkaian jalan utama yang menghubungkan daerah Cameron Highlands dengan daerah lain dan negeri bersempadan iaitu Lebuhraya Utara-Selatan dan Jalan Persekutuan II melalui Tapah, Jalan Simpang Pulai/ Ipoh-Lojing/ Gua Musang dan Jalan Lembah Bertam-Kuala Lipis. Daerah ini terdiri daripada 3 mukim iaitu Ulu Telom (63,990 hektar), Ringlet (5,156 hektar) dan Tanah Rata (2,072 hektar). Sungguhpun nama Cameron Highlands telah terukir sejak satu kurun yang lampau tetapi tidak banyak kisah-kisah atau perjalanan sejarah yang menarik pernah dicatat atau dibincangkan oleh masyarakat umum. Hanya selepas negara ini mencapai kemerdekaan, Cameron Highlands telah menjadi tumpuan pembangunan negara, khususnya Negeri Pahang dalam bidang ekonomi dan pelancongan.

EKONOMI

Sebagaimana yang telah dirancangkan di peringkat awal penubuhannya lagi, Cameron Highlands akan dibangunkan sebagai kawasan pertanian dan pelancongan yang popular. Ini bersesuaian dengan keadaan tanahnya yang tinggi dan subur. Sehingga kini sebahagian besar daripada kawasan tanah yang dimajukan adalah untuk menampung keperluan pertanian khususnya perladangan teh, sayur-sayuran dan buah-buahan hawa sederhana yang tidak sesuai di kawasan panas dan lembab. Lebih daripada 13 ribu ekar tanah telah dimajukan bagi tujuan tersebut. Tanaman teh diusahakan oleh syarikat-syarikat swasta. Antara ladang teh yang popular ialah Boh Tea, Bharat Tea, Cameronian Valley Tea dan sebagainya. Sementara itu, sayur-sayuran dan buah-buahan pula diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil yang kebanyakannya dari kalangan kaum Cina. Sebagai sebuah tempat pelancongan, Cameron Highlands telah menyediakan infrastruktur untuk kemudahan pelancong dan orang ramai. Ini telah dapat menarik kedatangan pelancong dan organisasi untuk mengadakan persidangan-persidangan dan aktiviti samada dari dalam negeri atau antarabangsa. Mengikut rekod terkini, terdapat 22 buah hotel pelbagai taraf dan 38 buah rumah banglo dari pelbagai kategori yang dimiliki oleh syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan. Jumlah pelancong dari dalam negeri sentiasa bertambah dari semasa ke semasa dengan adanya kemudahan pengangkutan bas dan teksi terus ke Cameron Highlands dari Ipoh, Tapah mahupun Kuala Lumpur. Kegiatan ekonomi lain di Cameron Highlands adalah seperti pembalakan dan penternakan lembu susu. Kegiatan pembalakan sentiasa dikawal oleh kerajaan negeri memandangkan kawasan-kawasan hutan simpan di sekitar daerah ini adalah merupakan kawasan 'Catchman Area' untuk sebuah stesen janakuasa elektrik hidro yang dibina di Cameron Highlands bagi menampung bekalan kuasa elektrik di beberapa buah negeri di pantai barat.

POLITIK DAN PENTADBIRAN

Sebagai sebuah daerah dalam Negeri Pahang, pentadbiran Cameron Highlands adalah mengikut sistem pentadbiran dan politik Kerajaan Negeri Pahang dan Malaysia amnya. Sistem pentadbirannya tidak berbeza dengan daerah-daerah lain di mana Pegawai Daerah adalah ketua Pejabat Daerah Dan Tanah Cameron Highlands yang bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran harian pejabat, urusan pembangunan daerah, tanah dan keselamatan daerah. Pegawai Daerah dibantu oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Pegawai-Pegawai dari Jabatan-Jabatan dan Penghulu Mukim dalam segala hal yang melibatkan penduduk-penduduk di Mukim masing-masing. Bagi menjamin keselamatan awam, Balai Polis turut dibina di beberapa kawasan Cameron Highlands termasuk juga Kem Rejimen Gerak Khas. Dari segi politik, Cameron Highlands diperuntukkan satu kerusi untuk parlimen dan dua kerusi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Parlimen Cameron Highlands, DUN Tanah Rata dan DUN Jelai.

PELANCONGAN

Kedudukan geografi Cameron Highlands terletak di Banjaran Titiwangsa, dengan puncak tertinggi ialah Gunung Brinchang setinggi 6666 kaki di atas aras laut. Altitud ini menyebabkan suhu persekitaran rendah dan dalam keadaan dingin. Cuaca yang sejuk serta keindahan alam semulajadinya amat sesuai sekali bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dan jauh daripada suasana sibuk, bising dan pencemaran alam. Kehijauan tumbuh-tumbuhan yang menyelimuti muka buminya yang berbukit-bukau, kehijauan ladang-ladang teh yang terhampar bagai permaidani hijau, bunga-bungaan beraneka warna yang harum lagi segar serta kebun-kebun sayur yang luas dan cantik di celah lereng-lereng gunung meruntun hati dan menjadikan pemandanagn seluas saujana mata memandang. Terdapat beberapa buah kawasan air terjun yang cantik dan sesuai untuk perkelahan. Manakala untuk peminat-peminat golf, Cameron Highlands menyediakan sebuah Padang Golf Awam yang sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja. Hawanya yang dingin menyebabkan seseorang itu tidak akan merasa letih ketiaka bermain golf dan memjanjikan kelainan antara padang golf yang lain. Selain dari menikmati keindahan alam semulajadinya, Cameron Highlands juga kaya dengan senibina bangunan-bangunan berbentuk 'tudor' yang menarik. Penginapan bagi pelancong tidak menjadi masalah di sini. Para pelancong mempunyai pelbagai pilihan untuk tempat penginapan dan ia disediakan untuk semua peringkat.

MASYARAKAT KAUM ASLI

Masyarakat Kaum Asli mendiami di 28 buah kampung yang kebanyakannya tinggal di kawasan-kawasan pedalaman. Kebanyakan mereka terdiri dari Suku Kaum Semai. Kampung yang berhampiran dengan Pekan Tanah Rata ialah Kg. Sungai Ruil yang jaraknya hanya 2.4 km. Kampung ini adalah sebagai satu kampung contoh yang moden buat masa ini. Penduduknya seramai 354 orang menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti bekalan air, elektrik dan perumahan sebanyak 33 buah. Di kampung ini juga dilengkapkan dengan sebuah balai raya dan asrama untuk kemudahan serta menempatkan anak-anak kaum asli dari kawasan pedalaman yang belajar di sekolah-sekolah kerajaan di Tanah Rata. Dalam bidang pelajaran, anak-anak kaum asli telah menunjukkan kemampuan mereka khususnya dalam bidang sukan. Manakala dalam hubungan masyarakat harian, kaum asli tidak terpisah sebagai satu kumpulan yang terasing. Mereka turut bersama bergandingan bahu dengan kaum lain dan ada diantaranya yang bekerja dengan jabatan-jabatan kerajaan.


Sebarang Pertanyaan...hubungi saya di facebookFacebook:http://www.facebook.com/suhaimi.mike

No comments:

Post a Comment

Thank You