Friday, April 15, 2011

Homestay Di Tanah Tinggi (Rencana Kosmo)

Homestay di Tanah Tinggi (Cameron Highlands)

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my



Haji Idris (Penghulu Pertama Cameron Highlands) dan Hajah Marina
Peneroka dan Pengasas Homestay Kampung Taman Sedia




KEDINGINAN pagi di Kampung Taman Sedia yang terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands pasti membuatkan sesiapa sahaja sukar untuk meninggalkan tempat tidur.

Meskipun tubuh sudah dibaluti beberapa lapisan selimut tebal, namun ia masih tidak cukup untuk memanaskan tubuh yang kesejukan.

Penulis sendiri teragak-agak sewaktu mahu membersihkan diri sejurus bangun pada pukul 6 pagi untuk menunaikan solat Subuh.

Kulit terasa beku tatkala air paip mengalir pada wajah ketika itu. Walaupun menggunakan pemanas air, namun ia tidak mampu menghilangkan kedinginan pagi.

Dengan suhu di antara 14 hingga 23 darjah Celcius, Cameron Highlands menawarkan pengalaman mandi pagi yang luar biasa terutama bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke tanah tinggi itu.

Perkara itu diakui oleh penduduk jati Kampung Taman Sedia, Siti Marina Bujang, 65, yang bermastautin di perkampungan itu sejak lima dekad lalu.

“Kalau nak tahu dahulu lagi sejuk. Sekarang suhu di Cameron Highlands sudah meningkat berbanding dua dekad lalu. Macam mana mandi tadi? Seronok tak?” aju wanita bertubuh kurus berkaca mata itu. Beliau merupakan isteri pemilik Marina Chalet.



Sambil tersenyum, dia pantas menyambung bicara: “Tak apalah, jemput masuk ke rumah mak cik. Nanti mak cik buatkan teh Cameron ya. Sejuk-sejuk macam ni memang sedap menghirup teh panas.”

Pelawaan mak cik Marina diterima dengan hati terbuka. Sambil menuang air teh panas ke dalam cawan, mulut mak cik Marina lancar menerangkan tentang sejarah homestay di kampung tersebut yang diasaskan sejak tahun 1989.

“Sebenarnya mak ciklah orang pertama yang menyediakan perkhidmatan homestay di Kampung Taman Sedia. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Suami mak cik merupakan penghulu Cameron Highlands. Jadi, rumah kami sering menjadi tumpuan jika ada yang mahu meminta pertolongan.

“Kebetulan kalau ada pemandu teksi berketurunan Cina yang membawa penumpang ke Tanah Rata, Brinchang dan sebagainya mereka membawa isteri bersama. Kemudian mereka akan menumpang tidur di rumah kami. Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada tetamu yang bermalam di sini.

“Dari situlah timbulnya idea untuk mewujudkan penginapan yang lebih selesa untuk sesiapa yang berminat,” terang Marina yang merupakan adik kepada pelakon veteran, Kuswadinata.

Selepas mengeluarkan kos untuk menyiapkan tiga buah bilik yang dilengkapi katil, Marina berjaya mendapat pelanggan untuk rumah penginapannya.

Mereka terdiri daripada sekumpulan 40 pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menginap selama dua hari di rumahnya.

“Alhamdulillah, dapatlah mak cik RM250 pada peringkat permulaannya. Rentetan daripada itulah terdetik di hati mak cik untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan,” katanya yang mendapat promosi dari mulut ke mulut.

Daripada tiga buah bilik, homestay Marina Chalet kini semakin berkembang. Kini, calet itu mempunyai lebih sepuluh buah bilik pelbagai saiz untuk didiami. Harga yang ditawarkan pula bermula dari RM80 hingga RM300.

Tempahan menggalakkan



HOMESTAY Kampung Taman Sedia berjaya menarik ramai pelancong ke Cameron Highlands sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu.

Kejayaan Marina juga kemudian menjadi inspirasi kepada penduduk kampung untuk turut serta dalam menawarkan kemudahan homestay kepada pelancong yang datang ke Cameron Highlands.

Salah satu daripadanya adalah Ros Chalet yang terletak bersebelahan Tadika Islam Kampung Taman Sedia.

Pemiliknya, Rosnah Abdul Latif, 45, yang mengusahakan calet tersebut bersama suami, Mohd. Zulkifli Daud, 47, memberitahu, dia membuka calet itu pada tahun 2007.

“Selepas melihat ramai penduduk yang mengambil inisiatif membuka calet, suami saya terus memberi idea.

“Setahun kemudian, barulah Ros Chalet beroperasi sepenuhnya dan menerima tempahan yang sangat menggalakkan terutama daripada pelajar dan syarikat produksi,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

Selain penginapan calet, Rosnah juga mempunyai dua buah kebun strawberi yang terletak di hadapan dan bersebelahan caletnya. Di kebun itu, pelanggan boleh memetik strawberi pada harga yang sangat berpatutan.

Wanita yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu turut mengusahakan sebuah kedai cenderamata yang menjual pelbagai produk berasaskan strawberi, kemeja-T, madu lebah dan teh Cameron Highlands.

Ahmad Zaidi, 23, adik kepada Rosnah, yang baru menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Tanjung Malim turut membantunya menguruskan kedai tersebut.

“Seronok apabila dapat melayan pelanggan. Biasanya pada hujung minggu atau cuti sekolah, kehadiran tetamu luar memeriahkan lagi kampung ini,” tutur Ahmad Zaidi.

Menetap di kampung itu sejak dua dekad lalu, Rosnah mengakui ketenangan dan kedinginan di kampung itu sudah sebati dalam dirinya.

Apa yang pasti, Kampung Taman Sedia adalah sebuah penempatan orang Melayu pertama di Cameron Highlands. Ia mula dibuka oleh sekumpulan orang Melayu pada tahun 1959 secara bergotongroyong.

Penempatan itu seterusnya dimajukan sebagai sebuah kampung oleh Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) pada tahun 1969. Terdapat sebanyak 48 lot tanah dengan anggaran sebanyak 0.101 hektar bagi setiap lot.

Secara umumnya, kampung ini mempunyai keluasan 10.5 hektar dan dikelilingi hutan. Terdapat kira-kira 50 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 236 orang.

Berbicara tentang sejarah kampung itu, Idris Osman, 76, tidak lokek berkongsi cerita memandangkan dia merupakan antara individu pertama yang mula meneroka Kampung Taman Sedia.

Taman Pari-pari

ROSNAH (kiri) dan suami, Zulkifli di depan kedai mereka yang menjual makanan dan cenderamata.

Ujarnya, kawasan ini merupakan sebuah hutan belukar. Kemudian, satu jawatankuasa seramai lapan orang yang terdiri daripada ketua kadi, guru besar, ketua polis daerah dan sebagainya dibentuk untuk berbincang cara-cara untuk meneroka kawasan tersebut.

“Pada setiap Sabtu dan Ahad, kami akan turun padang untuk menebas dan menebang hutan. Akhirnya dalam tempoh setahun hutan belukar itu berjaya dibersihkan.

“Waktu itu kedatangan ahli kumpulan bagi tujuan membersihkan belukar akan diambil pada setiap minggu. Jika tidak hadir, mereka dikehendaki membayar wang denda sebanyak RM5 sebagai ganti di atas ketidakhadiran mereka,” kata Pak Idris yang dilantik sebagai ketua jawatankuasa penerokaan kampung itu.

Pada 11 September 1974, Kampung Taman Sedia dibuka dengan rasminya oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Seperti di tempat-tempat lain, Kampung Taman Sedia juga mempunyai cerita dongengnya yang tersendiri. Malah, kisah itu telah diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi hingga kini.

Cerita Pak Idris, pada zaman dahulu, kampung ini dipercayai adalah sebuah taman yang penuh dengan bunga-bungaan kepunyaan pari-pari atau bagi masyarakat Melayu ia lebih dikenali sebagai orang bunian.

“Taman itu dikelilingi padang rumput yang luas, ditumbuhi pokok-pokok renek dan tumbuhan menjalar serta anak sungai.

“Kawasan ini dahulunya turut menjadi habitat bagi sekumpulan hidupan liar seperti rusa.

“Oleh kerana taman ini seolah-olah telah tersedia sejak dahulu lagi, maka sebab itulah ia terus dipanggil sebagai Taman Sedia yang bermaksud sebuah taman yang sudah tersedia,” ungkap Pak Idris sambil memberitahu kisah itu turut dipaparkan di salah satu mercu tanda kampung yang terletak di Dataran Taman Sedia.



**Untuk sebarang pertanyaan tentang MARINA CHALET &       HOMESTAY sila hubungi ....

    Suhaimi 019 3355542(Whatsapp) @ Aminul 010 5619142

2 comments:

  1. terima kasih pada makcik Marina yang melayan saya dan keluarga begitu baik sekali dengan bilik dan kawasan persekitaran yg sangat selesa untuk keluarga saya. percutian saya pada 30-4-2011 lalu amat bermakna... insyaAllah kami akan ke sana lagi!

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..

    Boleh tak saya copy gambar homestay dekat blog awak, untuk diiklankan secara percuma di blog saya..

    TQ..

    ReplyDelete

Thank You